Bayi Anda dan Ekzema

Apakah Ekzema?

Ekzema ialah keadaan kulit yang ditunjukkan oleh simptom gatal, kemerahan, kering dan kadang kala melepuh, berair atau mengerak akibat keradangan kulit. Ia mungkin muncul dalam tompokan kecil atau besar pada mana-mana bahagian badan.

Ekzema dan Bayi

Kita telah berbincang tentang ekzema dan bagaimana sistem penjagaan kulit yang baik dapat menangani keadaan ini, tetapi apa yang perlu dilakukan apabila bayi anda menghidapinya?

Apakah yang perlu disedari dan yang perlu anda lakukan seterusnya? Berikut adalah beberapa soalan dan jawapan untuk membantu anda bersedia menanganinya.”

1) Adakah ekzema perkara biasa dalam kalangan bayi?

Ia agak biasa, kira-kira 15% kanak-kanak menghidap ekzema.

2) Bagaimanakah rupa ekzema pada bayi?

Ia berbentuk tompokan merah, kulit bersisik yang gatal dan kasar apabila disentuh. Secara umumnya, ekzema boleh terjadi hampir pada semua bahagian badan. Walau bagaimanapun, bahagian yang terkena ekzema dan rupa ekzema boleh berubah apabila bayi anda membesar:

    • Bayi kecil

Kelihatan merah dan berair: biasanya muncul di pipi, dahi dan kulit kepala.

    • 6 hingga 12 bulan

Biasanya muncul pada bahagian badan yang digunakan untuk merangkak, siku dan lutut. Masih kelihatan merah dan berair.

    • Kira-kira dua tahun dan ke atas

Kebanyakannya muncul pada siku, lutut, pergelangan tangan, buku lali dan tangan. Pada usia ini, ekzema menjadikan kulit kelihatan berkedut dan kering. Bahagian tersebut juga lebih kasar dan tebal berbanding dengan bahagian kulit bayi yang lain.

3) Adakah ubat untuk menyembuhkan ekzema?

Pada masa ini, tidak ada ubat untuk menyembuhkan ekzema. Walau bagaimanapun, lazimnya masalah ekzema akan berkurangan apabila bayi membesar. Pelbagai pilihan rawatan menangani ekzema juga sedia ada.

4) Bolehkah saya mencegah bayi daripada terkena ekzema?

Walaupun tiada cara yang terbukti dari segi perubatan untuk mencegah ekzema sepenuhnya, jika anda tahu perkara yang mencetus ekzema pada bayi anda, ia boleh membantu untuk mengurangkan rasa tidak selesa itu.

Gabungan sistem penjagaan kulit yang baik untuk memantapkan kulit bayi anda dan mengenal pasti pencetusnya boleh mencegah ekzema menjadi lebih teruk.

5) Apakah yang mencetuskan ekzema menjadi lebih teruk?

Ia berbeza mengikut bayi. Beberapa pencetus yang biasa ialah:

    • Perengsa

Fabrik, hama debu, asap, produk wangi, sabun dan haiwan peliharaan adalah beberapa perkara yang boleh merengsa kulit bayi dan dan mencetuskan ekzema menjadi lebih teruk.

    • Haba dan peluh

Kedua-dua haba dan peluh boleh mencetuskan ekzema bayi anda.

    • Kelembapan yang rendah

Persekitaran dengan kelembapan yang rendah boleh menyebabkan kulit bayi anda menjadi kering lalu mengembangkan bahagian yang terkena ekzema dan menjadikannya lebih gatal.

    • Air liur

Bayi biasanya mengeluarkan air liur yang banyak. Ini boleh menyebabkan rengsaan yang lebih teruk pada bahagian yang terkena ekzema seperti pipi, dagu dan leher.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk membantu bayi saya?

Masalah ekzema yang ringan boleh dikawal dengan sistem mandian dan melembapkan kulit yang baik setiap hari:

    • Mandian Setiap Hari

Berikan bayi anda mandian air suam setiap hari. Elakkan daripada menggunakan air panas dan cuba pastikan tempoh mandian di bawah 10 minit. Penggunaan pembersih badan dan syampoo bayi yang lembut amat digalakkan. Elakkan menggunakan sabun, penggosok, loofah atau kain lap yang kasar terlalu lama atau terlalu kerap pada kulit bayi anda. Selepas mandian, gunakan tuala lembut untuk menepuk dan bukannya mengelap atau menggosok kulit untuk mengeringkan badan. Amalan mandian mudah ini dapat mencegah kulit bayi daripada kering atau terengsa.

    • Gunakan pelembap

Sebaik sahaja selepas mandi, lembapkan kulit bayi anda. Gunakan pelembap yang lembut untuk mencegah rengsaan kulit. Pelembap yang baik juga mempunyai bahan pelembut yang menyamankan kulit bayi anda yang meradang dan gatal. Cuba sapukan pelembap dua kali sehari tetapi berhati-hati agar tidak melakukannya secara berlebihan kerana ia boleh mendorong kepada masalah kulit yang lain.

Dapatkan nasihat pakar dermatologi

Untuk keadaan ekzema yang sederhana atau teruk, anda perlu mendapatkan nasihat pakar dermatologi dan mengikut nasihat mereka dengan baik.

Di antara penyelesaian yang mungkin dinasihati oleh para doktor termasuk:

    • Anti keradangan

Ubat sapu steroid mungkin diberikan oleh pakar dermatologi anda untuk digunakan semasa gatal-gatal untuk mengurangkan keradangan dan kegatalan.

    • Ubat makan antihistamin

Antihistamin berfungsi dari dalam badan untuk mengurangkan kegatalan secara umumnya.

    • Ubat sapu atau makan antibiotik

Jika ekzema sudah dijangkiti, pakar dermatologi anda mungkin akan memberikan antibiotik untuk disapu atau dimakan.

    • Mandian Dicairkan

Mandian dicairkan dapat mengurangkan bakteria pada kulit lalu mengurangkan jangkitan berlaku. Doktor akan menasihatkan kaedah pencairan itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan yang wajib diisikan ditandakan dengan *